Thursday, July 11, 2013

Peluang Generasi Muda Miliki Rumah


MARAN 22 Jun - Pelaksanaan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Wilayah Jengka merupakan anjakan baharu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada generasi baharu di tanah rancangan.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din (gambar) berkata, pembinaan projek itu bertujuan memberi peluang kepada golongan itu yang layak memiliki rumah sesuai dengan kemampuan mereka.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan agensi kerajaan itu adalah bergantung kepada lokasi, kesesuaian tanah dan juga permintaan daripada penduduk setempat.
"Projek perintis PGBF di Felda Padang Piol sudah siap disusuli dengan projek di tanah rancangan lain seperti Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Kota Gelanggi 2 dan 4, Felda Sungai Retang dan Jengka 11.

"Projek perumahan di Felda Siantan Jengka 19 yang dibina lebih awal sedang dalam proses kerja-kerja akhir dan akan dijual kepada yang layak tidak lama lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Jelasnya, PGBF yang akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda secara berperingkat merupakan satu tanggungjawab sosial Felda kepada warga peneroka.
Menurutnya, rumah yang dibina adalah dalam bentuk Sistem Binaan Industri (IBS) atau lebih dikenali sebagai rumah pasang siap.

Saari berharap generasi baharu terbabit perlu bersabar menunggu kehadiran projek berkenaan tiba di tanah rancangan mereka memandangkan jumlah kontraktor berkelayakan melaksanakan projek itu adalah terhad.

Beliau turut mengingatkan golongan itu supaya terus mengukuhkan rasa kasih terhadap Felda kerana banyak berjasa kepada generasi pertama yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Penghargaan itu membuktikan mereka merupakan generasi yang berbudi dan sentiasa bersyukur terhadap nikmat keselesaan pembangunan negara," ujarnya.






by - Admin SJ

No comments:

Post a Comment