BANYAK faktor yang menyebabkan rakyat Mesir bangkit menggulingkan kerajaan Mohammed Morsi. Dalam banyak-banyak faktor, faktor ekonomi adalah punca utama kebangkitan rakyat. Meskipun tidak boleh mempersalahkan Morsi semata-mata kerana sebelum Morsi menjadi Presiden, Mesir adalah sebuah negara yang miskin, namun rakyat Mesir seolah-olah hilang kesabaran apabila ekonomi negara terjejas teruk.
Keadaan ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi selepas penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak telah merebak menjadi barah ketika era pemerintahan Morsi.
Kenaikan harga barangan, pengangguran tinggi dan gaji rakyatnya yang rendah antara faktor yang menyebabkan rakyat bangkit menentang Morsi. Kadar inflasi hampir sembilan peratus pada tahun lalu, manakala kadar pengangguran melebihi 12 peratus. Rata-rata, rakyat Mesir berminat bekerja di sektor awam, manakala sektor swasta tidak dapat menjana dan merancakkan ekonomi Mesir.
Dianggarkan hampir separuh rakyatnya berada di bawah garis kemiskinan. Sementara dianggarkan 30 peratus kanak-kanak Mesir tidak dapat menikmati makanan berzat.
Tunjang sektor ekonomi Mesir iaitu sektor perkhidmatan melalui pelancongan pula merudum teruk sejak era kebangkitan rakyat pada tahun 2011. Pelabur dan pelancong kurang yakin dengan Mesir.
Ketika era pemerintahan Morsi, hutang kerajaan semakin meningkat daripada AS$30 bilion kepada AS$40 bilion. Wang kerajaan pula banyak dibelanjakan untuk ketenteraan. Rezab wang kerajaan berkurangan separuh daripada AS$34 bilion kepada AS$16 bilion. Kos sara hidup rakyat semakin tinggi. Lebih teruk lagi, mata wang Mesir semakin merudum kesan daripada ekonomi Mesir yang semakin teruk.
Apakah iktibar di sebalik kebangkitan rakyat Mesir kali ini? Iktibar utama sudah tentulah Kerajaan Malaysia tidak boleh bersikap sambil lewa dalam mengurus ekonomi negara dan rakyat. Setakat ini kerajaan kita berusaha untuk mengurus kewangan negara sebaik-baik mungkin. Kadar inflasi dan pengangguran adalah rendah, manakala hutang kerajaan masih dalam lingkungan yang boleh diurus. Sektor swasta pula menjadi enjin pertumbuhan ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi.
Rakyat pula tidak begitu bergantung dalam sektor awam untuk mendapatkan pekerjaan. Ringgit Malaysia pula semakin kukuh. Kerajaan juga telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan pada tahap terendah. Sektor pendidikan bersesuaian dengan kemahiran dalam dunia pekerjaan sebenar. Sektor pelancongan pula semakin mendapat tempat di hati pelancong yang mana pada tahun depan Tahun Melawat Malaysia bakal dilancarkan.
Kadar pertumbuhan negara pula semakin baik, manakala defisit negara semakin berkurangan saban tahun. Kerajaan juga telah dan sedang berusaha untuk merasionalisasikan subsidi untuk memastikan wang lebihan subsidi digunakan untuk golongan sasaran seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Bagi mengukuhkan lagi pendapatan kerajaan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan. Namun, kerajaan perlu terlebih dahulu mengurangkan cukai individu terutamanya cukai individu golongan menengah bagi memberi erti terhadap pengenalan GST.
Pembaziran, penyelewengan, rasuah dan ketirisan juga perlu ditangani segera agar kutipan cukai daripada wang rakyat dapat dikembalikan semula kepada rakyat secara berkesan, cekap dan ekonomik.
Apa yang berlaku di Mesir sewajarnya menjadikan rakyat Malaysia menzahirkan kesyukuran dengan kurniaan Allah SWT. Malaysia negara yang aman damai dan rakyatnya pula bebas beribadat dan mencari rezeki.
Pada saat umat Islam seluruh dunia termasuklah umat Islam Malaysia menyambut kedatangan Ramadan dengan gembira tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Mesir pula bermandikan darah dan rakyatnya berbalah sesama sendiri.
rujukan - utusan online
by - admin SJ