Tuesday, December 28, 2010

Kembalikan Maruah Bola Sepak






Sekalung tahniah diatas kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan yang telah berjaya membenam skuad bola sepak dari negara jiran iaitu Indonesia dengan 3-0, jumlah jaringan yang disifatkan sebagai 'garang' pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ahad 26 Disember lalu.

Secara tidak langsung, sebelah kaki telah membawa Malaysia sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Persoalan menang atau kalah di Gelora Bung Karno bagi saya sudah menjadi perkara kedua.

Apa yang dilihat lebih penting ialah semangat dan daya juang yang tinggi meyakinkan saya bahawa maruah bola sepak negara kembali gah.Ditambah pula dengan semangat 1 Malaysia yang jelas terpancar dalam skuad bola sepak negara.

Apa tidaknya, selain dari barisan pemain yang mempunyai kesefahaman dan keserasian yang jitu, di barisan pengurusan pula ternampak jelas apabila ledakan gol di gawang lawan,aksi spontan K.Rajagopal, Dato' Subahan Kamal dan pembantu jurulatih berpelukan sambil melompat kegembiraan meraikan jaringan tersebut.

Aksi ini mengimbau kembali ingatan saya ketika era kegemilangan bola sepak negara sewaktu zaman Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh singh dan R.Arumugam yang beraksi cemerlang suatu masa dahulu.

Sekiranya semangat 1 Malaysia ini boleh diaktifkan dalam sukan termasuklah di padang perlawanan bola sepak, mengapa tidak ia disemarakkan dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia?

Kami di Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) berasa bangga dengan skuad kebangsaan. Malah kami melihat sendiri secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil persembahan hebat dan bertenaga oleh anak didik K.Rajagopal sepanjang 90 minit perlawanan dilangsungkan.

Jadikanlah skuad kebangsaan dan pihak pengurusannya sebagai ikon semangat 1 Malaysia kerana ia menjadi kebanggaan segenap lapisan rakyat Malaysia.

Sekalung tahniah untuk Sultan Pahang, Sultan Haji Ahamad Shah, yang sanggup mencemar duli turun ke padang untuk memastikan tindakan tegas diambil berhubung gelagat segelintir penyokong yang menggunakan pancaran laser.

Gelagat ini tidak sepatutnya berlaku. Malah cara ini langsung tidak sihat dalam kita ingin meningkatkan mutu sukan bola sepak negara.

Dalam masa yang sama, kawalan emosi para pemain yang baik serta ketenangan jurulatih K.Rajagopal yang sentiasa tersenyum serta memberi isyarat positif dalam meyakinkan pengadil berhubung insiden itu membuatkan pengadil utama dari jepun,Toma Masaaki yang bertugas memberi respon baik dan beberapa minit kemudian perlawanan diteruskan semula.

Syabas dan tahniah juga buat penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam itu yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memberikan sokongan kepada para pemain negara.

Inilah sikap yang perlu dicontohi oleh sekalian penyokong malah rakyat Malaysia. Semangat 1Malaysia dengan salah satu daripada 8 nilai iaitu Budaya Berprestasi Tinggi perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia keseluruhannya.

Apa yang lebih membanggakan lagi, jika ingin dibandingkan K.Rajagopal dengan jurulatih Indonesia yang berasal dari Austria, Afred Riedl dan jurulatih Vietnam, Henrique Callisto yang merupakan anak kelahiran Portugal itu, membuktikan bahawa anak Malaysia mampu melakukan yang terbaik.

Jika Datuk Misbun Sidek menerima gelaran Datuk kerana kesungguhan beliau mendidik Dato' Lee Chong Wei, mengapa tidak pingat ini diberikan juga kepada jurulatih skuad kebangsaan K.Rajagopal walaupun kejayaan Malaysia mungkin ada yang beranggapan masih sedikit.

Tetapi bagi kami generasi muda khususnya warga KARISMA yang terdiri daripada 19 buah IPTA/IPTS seluruh Malaysia melihatkan ia adalah permulaan yang sangat baik. Kegemilangan bola sepak negara telah menyatukan rakyat Malaysia untuk berbangga dengan apa yang skuad Harimau telah tunjukkan.

Airmata kegembiraan yang jelas kelihatan di wajah para penyokong Malaysia pada malam itu jelas membuktikan betapa besarnya kebanggaan mereka kepada skuad negara.

Sekalung doa menjadi iringan untuk Skuad Kebangsaan. Semoga perlawanan akhir kedua di Jakarta malam esok menjadi medan terbaik untuk Malaysia membuktikan kemampuannya.
Malaysia Boleh!


28 DISEMBER 2010, UTUSAN MALAYSIA

3 comments:

  1. SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA SAUDARA UZAIR KERANA SEKALI LAGI TELAH BERJAYA MENYUARAKAN PANDANGAN DAN PENDAPAT BELIAU MELALUI LANDASAN MEDIA CETAK (UTUSAN)...SYABAS!

    "MAHASISWA BERKARISMA PEWARIS KEPIMPINAN NEGARA"

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH DAN SYABASSS UZEY! Saya berasa sangat berbangga dan terharu dengan kejayaan penulisan saudara dan berharap ini adalah sebagai titik tambah untuk KARISMA agar lebih dikenali di mata dunia...INSYAALLAH

    ps: uzey memang bergaya! :)

    ikhlas,
    aini :)

    ReplyDelete
  3. salam 1Malaysia...

    tahniah buat Saudara UzeY,teruskan penulisan anda yang berkualiti ini...

    ReplyDelete