Wednesday, December 29, 2010

Larangan PKR Tidak Wajar


Tindakan kerajaan PKR Selangor mengeluarkan arahan pengharaman penggunaan logo 1Malaysia di premis perniagaan di seluruh negeri itu mendapat reaksi yang pelbagai termasuk dari Kumpulan Rakan Siswa Malaysia(Karisma).

Larangan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor ini dikhaskan kepada iklan dan kain rentang itu telah mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan mahasiswa universiti tempatan.

Presiden Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma), Abu Na'im Bakri dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, pihaknya mewakili semua Kelab Karisma dari 22 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan tersebut. Hal ini kerana semangat 1Malaysia bukan sahaja telah memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, malah masyarakat luar turut menyedari kepentingan semangat 1Malaysia.

Beliau melihat tindakan kerajaan negeri Selangor ini lebih bermotifkan politik. Demi kepentingan politik singkat pakatan pembangkang di Selangor, mereka sanggup memperjudikan nilai keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

Walaupun menyedari gagasan 1Malaysia merupakan pendekatan terbaik yang dibawa oleh barisan kepimpinan negara dalam mewujudkan perpaduan rakyat pelbagai kaum, namun kerana perbezaan ideologi politik maka gagasan itu ditolak tanpa alasan yang munasabah.

"Gagasan itu diwujudkan bagi melahirkan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya berusaha memahami dan menerapkan kefahaman ini ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat," katanya.

Gagasan 1Malaysia merupakan pendekatan perpaduan tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan agama atau bangsa tertentu. Ia menerapkan konsep penerimaan dan juga kesaksamaan. Gagasan 1Malaysia merupakan ikon terbaik kerana mencerminkan nilai-nilai aspirasi yang menjadi platform kepada negara untuk mencapai wawasan negara maju.

Abu Na'im berpendapat, gagasan itu adalah baik kerana ia tidak membezakan apa juga fahaman politik, tidak membuat perbandingan antara kaum, keturunan serta agama.

Justeru, katanya, semestinya semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan gagasan 1Malaysia itu.

Menurutnya, nilai-nilai aspirasi yang terdapat dalam konsep 1Malaysia iaitu Budaya Berprestasi Tinggi, Budaya Inovasi, Budaya Ketepatan, Budaya Ilmu, Kebijaksanaan, Kesetiaan, Ketabahan dan Integriti telah berjaya menjadi model penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Timbulnya isu pengharaman logo 1Malaysia ini adalah berpunca daripada perasaan pihak pembangkang yang tidak suka akan perpaduan yang telah sekian lama menapak dalam sanubari rakyat negara kita.

"Pihak pembangkang juga gentar dengan konsep dan gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri. Justeru itu, pimpinan pembangkang mengambil tindakan untuk memutarbelitkan isu perpaduan ini," tambahnya.


28 DISEMBER 2010, UTUSAN MALAYSIA

3 comments:

  1. SATU LAGI ARTIKEL PAPARAN UTUSAN, BAHAGIAN RENCANA (ms 10) MENGENAI PANDANGAN DARIPADA PRESIDEN KARISMA KEBANGSAAAN SECARA TERUS...TERBUKTI MAHASISWA TIDAK LESU KHUSUSNYA MAHASISWA KARISMA....SYABASSSSSSSS!

    ReplyDelete
  2. tahniah kpd Presiden KarismaKebangsaan...
    tahniah utk Karismarian...

    ReplyDelete