Wednesday, July 31, 2013

Syiah : Mengancam Keselamatan Negara


PUTRAJAYA 30 Julai - Kementerian Dalam Negeri memperoleh bukti kukuh bahawa penyebaran ajaran Syiah di Malaysia bukan sahaja berbahaya kepada akidah umat Islam malah boleh mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil siasatan dan pemantauan terhadap gerakan itu mendapati terdapat asas akan berlaku ancaman keselamatan sekiranya ajaran tersebut tidak dibendung.

"Ancaman keselamatan ini lebih daripada yang kita tahu menerusi media, biar saya kata ajaran ini harus disekat dari awal bimbang berlaku seperti di beberapa negara di Asia Barat dan Asia Selatan hingga tercetusnya perpecahan.

"Malah, darah selain daripada mazhab mereka adalah halal dan mereka boleh lakukan apa sahaja terhadap penganut agama lain yang tidak ikut mazhab mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa di pejabatnya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan gerakan Syiah di Malaysia semakin agresif mempromosikan ajaran tersebut apabila cuba membina sebuah kompleks di Gombak, Selangor pada awalnya, namun gagal dan memilih lokasi baru iaitu wilayah di sempadan negara jiran, Thailand untuk membina sebuah markas baru dengan dana sebesar RM24 juta.

Menurut Ahmad Zahid, setakat ini pihaknya masih belum menerima bukti kukuh berkaitan pembinaan kompleks tersebut. Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya akan membendung ajaran itu daripada merebak kerana boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, tindakan yang diambil pihaknya itu bukan bertujuan membelakangi hak istimewa setiap negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya, mahu memastikan soal keselamatan negara tidak tergugat.

"Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam kita telah membentangkan permasalahan Syiah di Malaysia kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu dan hasil siasatan ini akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.

"Kita akan cadangkan hasil siasatan ini kepada Majlis Raja-raja untuk memperakukan penyebaran ajaran Syiah bukan sahaja berbahaya dari aspek akidah tapi juga keselamatan," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas penyebaran sebuah video klip di laman sosial yang menghina Islam apabila menonjolkan seorang individu membasuh tangannya dan kaki anjing seolah-olah melakonkan cara orang Islam mengambil wuduk, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyiasat isu tersebut kerana di bawah kuasa mereka.

"SKMM harus siasat dan cari punca dari akar umbi, tugas kami ialah lakukan penangkapan setelah ada bukti kukuh dan polis tidak akan bertoleransi terhadap pihak mempersendakan Islam," katanya.

Video yang hampir dua minit itu dengan tajuk 'Satu hari di hari raya' dimuat naik dalam YouTube turut menonjolkan individu tersebut meraikan sambutan hari raya bersama beberapa ekor anjing dengan diiringi muzik latar takbir raya dan lagu Satu Hari Di Hari Raya.


Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130731/dn_03/Syiah-ancam-keselamatan-negara#ixzz2aaj5e5ZA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perkasakan semangat kepahlawanan

SAMBUTAN Hari Pahlawan diraikan setiap tahun pada tanggal 31 Julai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sambutan diadakan bergilir-gilir sejak tahun 1968 antara PDRM dan ATM, pada tahun ini PDRM sebagai tuan rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) dalam perutusannya sempena sambutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kelmarin meminta masyarakat terus menghayati semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para pahlawan tanah air.

Berikut adalah antara inti pati perutusan Khalid sempena sambutan Hari Pahlawan:
Hari Pahlawan atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'Heroes Day' atau 'Warriors Day'. Negara-negara lain di seluruh dunia turut menyambutnya walaupun berbeza tarikh dan secara tradisinya istiadat kemuncak diadakan di Tugu Negara. Mulai 2010, sambutannya berubah di Dataran Merdeka sehinggalah pada kali ini dan sambutan Hari Pahlawan sebenarnya sudah bermula.

Pada 26 Julai lalu, khutbah khas Hari Pahlawan diadakan di Masjid Negara dan pada 30 Julai majlis berbuka puasa, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembesar-pembesar negara serta kepimpinan dan anggota PDRM dan ATM.

Pada 31 Julai, kemuncak acara iaitu istiadat sambutan di Dataran Merdeka dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, pegawai-pegawai kanan polis dan tentera, diplomat-diplomat dan kedutaan serta orang ramai.

Tujuan sambutan ini bagi mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta iaitu pengorbanan jiwa dan raga. Rakyat perlu menghargai pengorbanan para pahlawan kita yang berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi pengganas komunis, anasir-anasir subversif serta musuh-musuh negara. Perjuangan terbaharu pasukan keselamatan PDRM dan ATM adalah semasa Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini.

Sambutan ini juga untuk memperlihatkan kepada generasi kini dan akan datang bahawa kita sentiasa mengenang dan menghargai jasa para pahlawan yang telah terkorban dan juga menghargai pengorbanan mereka yang tercedera mengalami kecacatan fizikal yang kekal semasa berjuang di medan juang.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan dalam semangat 1Malaysia, bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya dalam apa jua bentuk sama ada bantuan atau sokongan, kepada pahlawan-pahlawan negara yang masih ada, atau pun kepada balu-balu, keluarga serta waris-waris yang ditinggalkan mereka.

Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara ini, pelbagai penghargaan dan pingat-pingat kebesaran serta keberanian telah dikurnia serta dianugerah kerajaan kepada para pahlawan, seperti pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan darjah kebesaran tertinggi negara dan pingat keberanian seperti Panglima Gagah Berani (PGB) dan juga pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).

Sehingga kini jumlah penerima pingat tersebut adalah seperti berikut: SP (7), PGB (15) manakala JPP (30). Kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga para pahlawan, termasuk anak-anak dan isteri mereka.

Dalam erti kata lain, kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan kita tidak pernah melupakan mereka. Bersempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, saya ingin menyeru kepada semua peringkat lapisan rakyat, agar meningkatkan lagi semangat patriotisme iaitu semangat sanggup berkorban demi negara, perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa.

Kepada para pahlawan yang masih ada, tetapi telah hilang upaya, serta sanak-saudara, pahlawan-pahlawan yang telah kehilangan tempat bergantung diharap agar mereka dapat menempuh ujian dan dugaan hidup dengan penuh ketabahan, kesabaran dan keyakinan. Kita sentiasa berdoa, agar Allah SWT memberikan rahmat dan hidayah serta kesejahteraan kepada mereka.

Bagi para pahlawan yang masih berkhidmat, diharap teruskanlah khidmat bakti yang murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat kepada para anggota pasukan keselamatan adalah cukup tinggi. Sebagai perisai dan pedang negara jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat sumpah ikrar yang telah kita lafazkan sebelum ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban utk negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negara kita sentiasa dicucuri limpah kurnia dan rahmat-Nya yang berkekalan.



© Utusan Melayu (M) Bhd 


Friday, July 26, 2013

SALAM NUZUL AL-QURAN



Dikesempatan ini KARISMA ingin mengucapkan Salam Nuzul Al-Quran kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini dapatlah kita berlumba-lumba menunaikan ibadah agar mendapat redhanya.


Apa itu Nuzul Al-Quran?

‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.


Peristiwa agung dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga disebut Allah sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah).

Firman Allah SWT.:
  1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3).
  2.  Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1).
  3. Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”  (Surah al-Baqarah, ayat 185)

‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.

Ketiga-tiga ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.





Thursday, July 25, 2013

BN Menang di Kuala Besut




Berikutan kematian Dr. A Rahman Mokhtar  pada 26 Jun lalu yang mewakili BN, maka PRK telah diadakan di Kuala Besut. Semasa PRU lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas, Napisah Ismail.

Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri memperoleh 8,809 undi manakala pencabarnya 6,375 undi, 144 undi rosak.

Calon BN untuk PRK kali ini adalah  seorang profesional muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman,37, memperoleh 8,288 undi manakala pencabarnya, seorang kontraktor, Endot@ Azlan Yusof,48, atau lebih dikenali dengan Che Long memperoleh 5,696 undi yang menyaksi peningkatan majoriti daripada 2,343 kepada 2,592 manakala 125 undi rosak.

Apa yang lebih menarik BN memenangi di semua pusat daerah mengundi termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang tewas sebelum ini.

Dengan slogan Kuala Besut Bertambah Biru, BN mencatat sedikit pertambahan dari segi majoriti yang dikaitkan dengan penurunan peratus keluar mengundi daripada 87 peratus dalam pilihan raya umum (PRU) lalu kepada 80 peratus.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A. Rahim Jusoh, di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Majlis Daerah, Gong Gemuntong Jertih kira-kira pukul 10 malam ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK.

Yang turut sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil di samping Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof.

Sebanyak 16,534 pengundi termasuk 55 peratus daripadanya merupakan pengundi muda menunaikan tanggungjawab hari ini manakala Sabtu lalu, 1,148 orang terdiri daripada anggota tentera udara dan isteri mereka telah mengundi
.
Namun, setelah kesemua pusat pengundi ditutup pukul 5 petang menyaksikan 13,188 pengundi atau mencecah 80 peratus keluar mengundi seperti yang dijangkakan oleh SPR.

Melalui PRK ini juga, SPR memperkenalkan kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal, tidak lagi calitan di kuku seperti dalam PRU lalu bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.

PRK pernah diadakan di Kuala Besut 34 tahun lalu, juga dalam bulan Ramadan dan dimenangi calon BN.



Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130725/dn_01/Tambah-majoriti#ixzz2a1TcVWu4 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Wednesday, July 24, 2013

FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN FAHAMAN SYIAH




        Di Malaysia, ajaran Syiah dipercayai mula bertapak selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruhnya menular apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan berjaya menyebarkan fahaman Syiah ini kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Banyak kitab utama Syiah yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan dijadikan bahan rujukan mereka (Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah, JAKIM, 2001)

         AWAS! Terdapat beberapa kitab utama Syiah yang telah dijadikan bahan rujukan, 
antaranya ialah Kasyf al-Asrar (Ayatullah al-Khomeini), Ahlu al-Bait (Dr. Mahfuz Mohamed), AI-Hukumah al-Islamiah (Ayatullah al-Khomeini), Al-Sab'ah Min al-Salaf (Ayatullah al Murtadza az- Zubaidi), AI-Usul Min al-Kafi (al-Sheikh Muhammad bin Yaacob al-Kulaini), Tahrir al- Wasilah (Ayatullah al-Khomeini), Mengapa Aku Memilih Ahlul Bait a.s? (Syeikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki - diterjemah oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim 1993), Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas 
dan Ijtihad) - Al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar ) dan beberapa kitab Syiah yang lain.


Berikut adalah  faktor-faktor kemunculan faham Syiah:

1. KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W 
 Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat bahawa Saidina Ali lebih  berhak menjadi   imam lalu berpihak kepadanya. Pendapat ini juga dipegang oleh sebahagian puak Syiah dengan penafsiran khas mereka sendiri. Sementara selain Syiah pula mengkaitkan pendapat ini dengan pandangan yang mengatakan bahawa talian darah dengan Rasulullah S.A.W lebih berhak menjadi khalifah selepas Rasulullah S.A.W. 


2. KEMUNCULAN PERGERAKAN ABDULLAH B. SABA’ DI PENGHUJUNG ZAMAN UTHMAN R.A. 

 Abdullah b. Saba’ adalah seorang Yahudi dari Yaman dan pengasas golongan Syiah Al- Sabaiyah yang merupakan golongan Syiah pelampau. Dia telah memeluk Islam pada zaman Uthman r.a, dan menjelajah ke kota-kota Islam dalam percubaannya untuk menyesatkan umat Islam.


3. PEPERANGAN SIFFIN DAN MAJLIS TAHKIM 

 Reaksi kepada puak Khawarij yang menentang Saidina Ali r.a dalam peristiwa Tahkim. Mereka melaungkan bahawa imam itu adalah hak umum bagi semua kaum muslimin tanpa wujud keutamaan antara orang Arab dengan bukan Arab, dan antara bangsa Parsi atau Habsyah. Puak Syiah dalam keadaan itu menjadikan imam hak di kalangan ahli bait Rasulullah S.A.W sahaja, dari keturunan Saidina Ali r.a.


4. PEMBUNUHAN HUSSEIN R.A. 

 Selepas peristiwa menyayat hati ini, lafaz Syiah mula digunakan untuk merujuk kepada  mereka yang menyokong Saidina Ali r.a dan keturunannya. 


Kesimpulan : Sebahagian prinsip akidah bagi Syiah telah lahir pada tangan Abdullah b. Saba’, tetapi tidak timbul secara berkumpulan. Hanya selepas berlaku peristiwa di atas, terutama selepas pembunuhan Hussein, Syiah mula muncul sebagai suatu kumpulan yang berkembang berdasarkan prinsip-prinsip tertentu yang dilontarkan oleh Ibnu Saba’ di dalam suasana pemikiran bagi puak Syiah ketika itu.




sumber: http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/PENYELEWENGANSYIAH.pdf

Tuesday, July 23, 2013

Tinjauan Mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)



Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) adalah satu inisiatif FTA melibatkan sebelas (11) negara, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. 

17 pusingan rundingan telah diadakan:

  • Pusingan pertama 15-18 Mac 2010 di Melbourne, Australia;
  • Pusingan kedua dari 14 - 18 Jun 2010 di San Francisco, Amerika Syarikat;
  • Pusingan ketiga 4-9 Oktober 2010 di Brunei Darussalam, Brunei;
  • Pusingan keempat 6-10 Disember 2010 di Auckland, New Zealand;
  • Pusingan kelima dari 14 - 18 Februari 2011, Santiago, Chile;
  • Pusingan keenam dari 24 Mac - 1 April 2011, Singapura;
  • Pusingan ketujuh 20-24 Jun 2011, Viet Nam;
  • Pusingan kelapan 6-15 September 2011, Amerika Syarikat;
  • Pusingan kesembilan 19-28 Oktober 2011, Lima, Peru;
  • Pusingan kesepuluh dari 5-09 Disember, 2011, Kuala Lumpur;
  • Pusingan ke-11 pada 1-9 Mac 2012, Melbourne, Australia;
  • Pusingan ke-12 pada 8-18 Mei 2012, Dallas, Amerika Syarikat;
  • Pusingan ke-13 pada 2-11 Julai 2012, San Diego, Amerika Syarikat;
  • Pusingan ke-14 pada 6-15 September 2012, Leesburg, Amerika Syarikat;
  • Pusingan ke-15 pada 3-12 Disember 2012, Auckland, New Zealand;
  • Pusingan ke-16 pada 3-14 Mac 2013, Singapura; dan
  • Pusingan ke-17 pada 15-25 Mei 2013, Lima, Peru.
  • Pusingan ke-18 pada 15 - 25 Julai 2013, Kota Kinabalu.

Objektif rundingan adalah untuk membangunkan satu perjanjian FTA yang akan dapat menyesuaikan diri dan menggabungkan isu-isu semasa, kebimbangan dan kepentingan. 

Kumpulan kerja telah ditubuhkan di kawasan-kawasan berikut:

  • Akses Pasaran;
  • Halangan Teknikal kepada Perdagangan;
  • Langkah-langkah kebersihan dan Fitosanitasi;
  • Peraturan Tempasal;
  • Kerjasama Kastam;
  • Pelaburan;
  • Perkhidmatan;
  • Tidak mematuhi Sukat;
  • Perkhidmatan Kewangan;
  • Telekomunikasi;
  • E-Commerce;
  • Mobiliti Perniagaan;
  • Perolehan Kerajaan;
  • Persaingan;
  • Harta Intelek;
  • Buruh;
  • Alam Sekitar;
  • Pembinaan kapasiti;
  • Pemulihan perdagangan dan
  • Undang-undang dan Institusi.

Perkara unik daripada FTA lain adalah tumpuan tambahan Kumpulan mengenai cross-cutting "isu-isu mendatar" seperti kepaduan peraturan, daya saing dan pemudahan perniagaan, pembangunan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Terdapat sesi penglibatan pihak berkepentingan di perundingan TPP. Wakil-wakil sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan Kumpulan Minat Khas dijemput untuk membuat persembahan di mana mereka boleh berkongsi pandangan mereka mengenai isu-isu kepentingan kepada mereka.



sumber : http://www.miti.gov.my

Tip menguruskan kewangan dengan bijak

Kita sering kali akur tentang kepentingan menguruskan kewangan dengan bijak kerana setiap dari kita mempunyai sumber kewangan yang terhad. Namun kita haruslah mendisiplinkan diri bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan.
Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam merancang kewangan.
  • Pastikan setiap kali menerima gaji bahagian wang yang hendak dijadikan simpanan disimpan dalam akaun khas.
  • Cuba elakkan dari berbelanja menggunakan kad kredit, jika masih tidak dapat mengawal diri, cuba sedaya upaya melangsaikan hutang-hutang dengan cepat dan batalkan kad anda serta merta.
  • Rancang kewangan anda dengan teliti. Wujudkan pelan perbelanjaan peribadi khas yang meliputi perbelanjaan harian, mingguan, bulanan sehinggalah perbelanjaan tahunan.
  • Elakkan diri dari berhutang kecuali untuk membeli benda seperti kereta dan rumah. Jika tidak mampu, disarankan supaya anda menangguhkan dulu hasrat sehingga anda benar-benar mampu.
  • Amalkan sikap menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum melangkah pergi ke pusat membeli belah bagi mengelakkan anda dari membelanjakan wang untuk barangan yang tidak penting.
  • Jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan anda. Perkara ini hanya akan membebankan anda di kemudian hari.
  • Pastikan anda mempunyai tabungan khas bagi digunakan ketika kecemasan.
  • Adalah penting bagi anda memiliki insurans yang bersesuaian dengan anda atau keluarga. Pastikan peruntukan yang cukup disediakan bagi tujuan ini kerana apa yang pasti, malang tidak berbau.



sumber : Institut Perakaunan Negara (IPN)

Tuesday, July 16, 2013

Kebakaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

SHAH ALAM - Sebuah bangunan setingkat yang menempatkan empat buah bilik makmal untuk Fakulti Sains di hadapan Kolej Perindu musnah dalam satu kebakaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini petang semalam, 15 Julai 2013.
Ketika kejadian pada pukul 4.15 petang itu, difahamkan kira-kira tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal sedang menjalankan eksperimen dalam salah sebuah bilik.
Bagaimanapun kesemua mereka sempat keluar melarikan diri apabila menyedari api mula merebak dipercayai berpunca dari sebuah bilik makmal yang terletak di bahagian tengah bangunan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd. Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.26 petang sebelum lima jentera bersama kira-kira 30 anggota dari balai bomba di sini bergegas ke lokasi.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian, asap hitam dilihat berkepul-kepul dan api sedang marak membakar bangunan setingkat itu.
“Pasukan bomba terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal kebakaran itu daripada terus merebak dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.20 malam tadi.




Kami berharap tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku, semoga semuanya selamat.







Friday, July 12, 2013

Rumah Transit Untuk Pengantin Baru


Kerajaan memperkenalkan program rumah transit untuk pasangan muda baru berkahwin berpendapatan kurang RM3,000 sebulan sementara mereka mampu memiliki rumah sendiri.

Program dijadual dilaksanakan tahun depan dengan sewa rumah transit serendah RM124 sebulan untuk dua tahun, menggunakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Selain pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan, ia terhad kepada mereka yang berusia kurang 30 tahun. Fasa awal projek akan dilaksanakan di ibu negara sebelum diluaskan dibandar-bandar besar seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata program itu bertujuan mengurangkan beban pasangan berpendapatan rendah yang baru berkahwin memulakan kehidupan dan memiliki rumah sendiri.

"Kerajaan memperuntukan 10 peratus daripada jumlah rumah PPR sedia ada yang belum didiami sebagai projek perintis," kata beliau di lobi parlimen, semalam.

Abdul Rahman mengumumkan program perumahan transit itu ketika menggulung perbahasan menjujung kasih titah Yang di-Pertua Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kementerian akan mendapatkan kebenaran menjadikan keseluruhan PPR San Peng di Jalan San Peng di sini sebagai fasa pertama projek berkenaan.

"ideanya ialah menghimnpunkan peserta yang layak di satu tempat supaya mereka dapat bergaul dan berinteraksi. Jika berjaya (memperoleh kebenaran), penghuni sedia ada akan dipindahkan ke penempatan yang lain." katanya.


Abdul Rahman berkata, setiap pasangan perlu berusia 30 tahun ke bawah dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan.

"Tempoh dua tahun dilihat sebagai masa munasabah untuk pasangan baru bersedia daripada aspek kewangan. Selepas dua tahun, mereka perlu keluar dari rumah itu kerana ia hanya langkah awal membantu mereka memulakan kehidupan berkeluarga. sebab itulah kita namakan ia rumah transit." katanya lagi.



Terdahulu pada sesi penggulungan, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, Kemeterian bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengambil alih beberapa bangunan PPR yang siap di bina supaya bangunan itu secara khusus disediakan untuk konsep baru berkenaan.


rujukan - berita harian 12|7|13
by - admin SJ

Iktibar Arab Spring Mesir




BANYAK faktor yang menyebabkan rakyat Mesir bangkit menggulingkan kerajaan Mohammed Morsi. Dalam banyak-banyak faktor, faktor ekonomi adalah punca utama kebangkitan rakyat. Meskipun tidak boleh mempersalahkan Morsi semata-mata kerana sebelum Morsi menjadi Presiden, Mesir adalah sebuah negara yang miskin, namun rakyat Mesir seolah-olah hilang kesabaran apabila ekonomi negara terjejas teruk.

Keadaan ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi selepas penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak telah merebak menjadi barah ketika era pemerintahan Morsi.
Kenaikan harga barangan, pengangguran tinggi dan gaji rakyatnya yang rendah antara faktor yang menyebabkan rakyat bangkit menentang Morsi. Kadar inflasi hampir sembilan peratus pada tahun lalu, manakala kadar pengangguran melebihi 12 peratus. Rata-rata, rakyat Mesir berminat bekerja di sektor awam, manakala sektor swasta tidak dapat menjana dan merancakkan ekonomi Mesir.

Dianggarkan hampir separuh rakyatnya berada di bawah garis kemiskinan. Sementara dianggarkan 30 peratus kanak-kanak Mesir tidak dapat menikmati makanan berzat.
Tunjang sektor ekonomi Mesir iaitu sektor perkhidmatan melalui pelancongan pula merudum teruk sejak era kebangkitan rakyat pada tahun 2011. Pelabur dan pelancong kurang yakin dengan Mesir.

Ketika era pemerintahan Morsi, hutang kerajaan semakin meningkat daripada AS$30 bilion kepada AS$40 bilion. Wang kerajaan pula banyak dibelanjakan untuk ketenteraan. Rezab wang kerajaan berkurangan separuh daripada AS$34 bilion kepada AS$16 bilion. Kos sara hidup rakyat semakin tinggi. Lebih teruk lagi, mata wang Mesir semakin merudum kesan daripada ekonomi Mesir yang semakin teruk.

Apakah iktibar di sebalik kebangkitan rakyat Mesir kali ini? Iktibar utama sudah tentulah Kerajaan Malaysia tidak boleh bersikap sambil lewa dalam mengurus ekonomi negara dan rakyat. Setakat ini kerajaan kita berusaha untuk mengurus kewangan negara sebaik-baik mungkin. Kadar inflasi dan pengangguran adalah rendah, manakala hutang kerajaan masih dalam lingkungan yang boleh diurus. Sektor swasta pula menjadi enjin pertumbuhan ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi.


Rakyat pula tidak begitu bergantung dalam sektor awam untuk mendapatkan pekerjaan. Ringgit Malaysia pula semakin kukuh. Kerajaan juga telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan pada tahap terendah. Sektor pendidikan bersesuaian dengan kemahiran dalam dunia pekerjaan sebenar. Sektor pelancongan pula semakin mendapat tempat di hati pelancong yang mana pada tahun depan Tahun Melawat Malaysia bakal dilancarkan.

Kadar pertumbuhan negara pula semakin baik, manakala defisit negara semakin berkurangan saban tahun. Kerajaan juga telah dan sedang berusaha untuk merasionalisasikan subsidi untuk memastikan wang lebihan subsidi digunakan untuk golongan sasaran seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bagi mengukuhkan lagi pendapatan kerajaan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan. Namun, kerajaan perlu terlebih dahulu mengurangkan cukai individu terutamanya cukai individu golongan menengah bagi memberi erti terhadap pengenalan GST.
Pembaziran, penyelewengan, rasuah dan ketirisan juga perlu ditangani segera agar kutipan cukai daripada wang rakyat dapat dikembalikan semula kepada rakyat secara berkesan, cekap dan ekonomik.

Apa yang berlaku di Mesir sewajarnya menjadikan rakyat Malaysia menzahirkan kesyukuran dengan kurniaan Allah SWT. Malaysia negara yang aman damai dan rakyatnya pula bebas beribadat dan mencari rezeki.

Pada saat umat Islam seluruh dunia termasuklah umat Islam Malaysia menyambut kedatangan Ramadan dengan gembira tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Mesir pula bermandikan darah dan rakyatnya berbalah sesama sendiri.


rujukan - utusan online
by - admin SJ

Thursday, July 11, 2013

UCAPAN SELAMAT BERPUASA

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.


" Telah bersabda Rasulullah saw. : Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah. Mendirikan Shalat Mengeluarkan Zakat puasa di bulan Ramadhan Menunaikan haji ke Ka'bah. ( HR.Bukhari Muslim ).


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia- Nya kita dapat menajalani ibadah puasa tahun ini 1434 H/ 2013. Pejam celik, pejam celik sudah masuk hari kedua kita semua berpuasa. Rasanya  belum terlambat untuk kami mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua ahli Kumpulan Rakan Siswa Jasa Malaysia di seluruh Malaysia



Sebagai umat Islam muslimin muslimat dianjurkan untuk menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Puasa yang bertujuan untuk mengekang, melawan, dan menghentikan segala hawa nafsu dan memperbanyak ibadah kepada Allah SWT. Antara ibadah yang digalakkan semasa berpuasa adalah solat sunat, bersedekah, khatam Al-Quran, dan banyak lagi.Akhir kata Selamat Menunaikan Ibadah Puasa.



p/s : Individu yang boros dan suka membazir turut dilabelkan sebagai rakan Syaitan dek kerana memiliki sifat negatif yang memudaratkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya. 

Peluang Generasi Muda Miliki Rumah


MARAN 22 Jun - Pelaksanaan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Wilayah Jengka merupakan anjakan baharu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada generasi baharu di tanah rancangan.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din (gambar) berkata, pembinaan projek itu bertujuan memberi peluang kepada golongan itu yang layak memiliki rumah sesuai dengan kemampuan mereka.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan agensi kerajaan itu adalah bergantung kepada lokasi, kesesuaian tanah dan juga permintaan daripada penduduk setempat.
"Projek perintis PGBF di Felda Padang Piol sudah siap disusuli dengan projek di tanah rancangan lain seperti Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Kota Gelanggi 2 dan 4, Felda Sungai Retang dan Jengka 11.

"Projek perumahan di Felda Siantan Jengka 19 yang dibina lebih awal sedang dalam proses kerja-kerja akhir dan akan dijual kepada yang layak tidak lama lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Jelasnya, PGBF yang akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda secara berperingkat merupakan satu tanggungjawab sosial Felda kepada warga peneroka.
Menurutnya, rumah yang dibina adalah dalam bentuk Sistem Binaan Industri (IBS) atau lebih dikenali sebagai rumah pasang siap.

Saari berharap generasi baharu terbabit perlu bersabar menunggu kehadiran projek berkenaan tiba di tanah rancangan mereka memandangkan jumlah kontraktor berkelayakan melaksanakan projek itu adalah terhad.

Beliau turut mengingatkan golongan itu supaya terus mengukuhkan rasa kasih terhadap Felda kerana banyak berjasa kepada generasi pertama yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Penghargaan itu membuktikan mereka merupakan generasi yang berbudi dan sentiasa bersyukur terhadap nikmat keselesaan pembangunan negara," ujarnya.






by - Admin SJ


KUALA LUMPUR - 10/07/2013 — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa merancang dan menyediakan pelbagai platform kepada anak muda untuk mengekspresikan idea dan kreativiti mereka.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ini sejajar dengan pendekatan keterbukaan Kerajaan terhadap pandangan dan idea yang baru dalam perencanaan dasar di samping perubahan pola demografi yang mengenengahkan kepentingan generasi belia.

Majlis Perundingan Belia di peringkat Daerah, Negeri dan Negara antara program yang dianjurkan oleh Kementerian yang merupakan saluran kepada belia menyuarakan pendapat melalui pemimpin-pemimpin belia di kawasan mereka sehingga ke peringkat nasional.
Menteri turut memberitahu kepada Dewan Rakyat bahawa Program Felo Perdana yang merupakan program internship paling berprestij di mana anak muda terpilih di kalangan pelajar dan graduan akan ditempatkan di pejabat Ahli Jemaah Menteri.

Program ini bakal mendedahkan kumpulan ini kepada proses pentadbiran dan penggubalan dasar disamping memberi peluang kepada mereka untuk melontarkan buah fikiran dan cadangan terhadap dasar dan program yang dilaksanakan Kerajaan.

Selain itu, program-program yang dianjurkan adalah Forum Generasi Muda, Program Perdana Leader Fellowship dan Makmal Transformasi Pembangunan Belia. Parlimen Belia Malaysia pula akan dilaksanakan dijangka bermula tahun hadapan. Menteri turut mengatakn bahawa belia-belia dari seluruh negara turut diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi idea secara maya melalui pelaksanaan Bank Idea yang akan dilancarkan kelak oleh Kementerian.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata perlaksanaan Parlimen Belia Malaysia terpaksa ditangguhkan untuk melihat semula perlaksaannya.
“Parlimen Belia Malaysia ini sedang kita perhalusi perlaksanaannya, jadi soal berapa ramai yang terlibat, soal usul yang dibangkitkan, soal sama ada perkara ini akan diaktakan atau diletakkan sebagai satu Akta, masih lagi belum ditetapkan” Jelas Menteri kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz.

Semenjak pendaftaran pemilih Parlimen Belia Malaysia dibuka secara dalam talian,seramai 15,516 orang sahaja mendaftar dan ianya menjadi salah satu faktor mengapa ianya sedang diperhalui semula.
Sementara itu, Menteri mencadangkan salah satu penambahbaikan kepada Festival Belia adalah untuk memastikan penjenamaan dan festival ini dapat dirasai diperingkat akar umbi.

‘Kita tidak mahu hanya kita bawa Festival ini atau sambutan Hari Belia ini di peringkat Putrajaya sahaja tetapi kita mahu supaya semangat daripada Festival Belia itu dirasai diseluruh tanah air”
Menteri turut memaklumkan cadangan diperingkat Kementerian adalah supaya ianya dibuat di peringkat Daerah, Negeri dan seterusnya peringkat Putrajaya. Cara ini dapat merakyatkan mengakar-umbikan lagi Festival Belia Putrajaya.



by - Admin SJ

Golongan Belia Jauhi Gengsterisme



Gengsterisme atau kumpulan kongsi gelap ialah sebuah kumpulan yang terdiri dari lima orang hinga lebih dan boleh mencapai kepada berpuluh-puluh orang. Kumpulan seperti ini bukanlah didaftar secara rasmi kerana aktiviti kumpulan ini adalah pelbagai. Dengan kemajuan yang dicapai pada hari ini penularan masalah gengsterisme semakin berleluasa,namun pihak Polis Diraja Malaysia masih memberi jaminan bahawa gengsterisme berada pada tahap terkawal di negara ini.

Masalah gengsterisme di Malaysia masih berada pada tahap yang tidak membimbangkan. Ini kerana anasir ini tidak lah terlalu serius dan PDRM sering mengawal keadaan setiap tempat yang dikatakan wujud kumpulan gengsterisme ini. Kewujudan kumpulan ini masih berlaku tetapi tidak terlalu berleluasa sehingga menakutkan orang lain untuk menjalankan aktiviti harian di luar. Kumpulan ini terdiri dari kaum India, Cina dan Melayu. Mereka ini menjadi pelindung kepada pertubuhan badan kebajikan dan bukan kerajaan di sesuatu kawasan dan juga pelindung kepada seseorang dengan dikenakan bayaran yang setimpal. aktiviti orang lain.

Kumpulan yang tida berdaftar ini bertujuan menarik lebih ramai belia untuk bersama-sama mereka melakukan aktiviti yang telah mereka rancangkan. Untuk menarik minat belia-belia, mereka merancang aktiviti yang boleh menarik golongan belia. Aktiviti mereka tidaklah ketara dan menjurus kepada keganasan yang selalu diwar-warkan oleh gengsterisme seperti menyanyi di khalayak ramai,menjadi penajga parking secara haram dan sebagainya.

Contoh kumpulan yang masih aktif dan dalam pemantauan polis ialah baru-baru ini seperti di Tapah dan Manjung, Perak. Polis dapat menumpaskan kumpulan ini apabila mereka sedang leka mengadakan program angkat sumpah ahli baru di kawasan kebun kelapa sawit. Apabila ditanya salah seorang mangsa ahli baru kumpulan itu, dia berkata diajak oleh kawan yang telah lama menyertaio kumpulan itu dengan mengatakan ini adalah kumpulan yang sering melakukan kebajikan terhadap masyarakat. Walaubagaimanapun, dia juga terkejut kerana aktiviti yang dikatakan itu adalah berbeza dari yang dikhabarkan.

Ingin memesan kepada belia di luar sana suapay selidik terlebih dahulu sekiranya ada rakan-rakan yang mengajak untuk menyertai satu pertubuhan dan kumpulan. Ini kerana sekiranya mereka telah mengangkat sumpah dan terjebak dengan kumpulan ini, mereka akan susah untuk keluar semula. Mereka akan dikawal oleh ahli-ahli lama ke mana sahaja mereka pergi. Pergerakan mereka juga terbatas kerana mereka harus melakukan sesuatu atas arahan ketua. Jika mereka engkar, ahli ini akan menerima padah yang mungkin boleh mendatangkan kecederaan.



Fokus kumpulan ini adalah golongan remaja dan taraf pendidikan rendah, mempunyai masalah keluarga, berlaku salah faham dalam keluarga dan kebanyakan mereka yang terlibat ini adalah dari kaum India remaja yang berasal dari estet-estet. Masalah taraf pendidikan menyebabkan mereka susah untuk mencari mata wang pencarian dan dengan cara pujukan dari kumpulan gengsterisme ini, mereka diberi janji wang yang lumayan. Kerana itu belia-belia ini tidak berfikir panjang dan terus menerima ajakan untuk menyertai kumpulan gengsterisme.

Belia yang menyertai gengsterisme ini adalah bersifat ingin tahu. Disebabkan taraf pendidikan yang rendah dan mudah dipengaruhi. Kumpulan sasaran adalah belia kerana mereka mudah diberi habuan dan apabila mereka menyertai kumpulan gengsterisme ini, mereka seperti diiktiraf dan rasa diri mereka berkuasa. Mereka juga harus merekrut remaja lain untuk menjadikan lagi ahli semakin banyak dan jika tidak, mereka akan didenda dengan pelbagai cara sehingga ada yang mengancam nyawa.

Seperti yang dijelaskan diatas, sekiranya belia-belia sudah terjebak dengan kumpulan ini, keluarga mereka akan diancam jika mereka hendak keluar dari kumpulan gengsterisme. Kumpulan gengsterisme ini selalunya dikaitkan dengan jenayah kekerasan seperti bergaduh, ugut, membunuh dan sebagainya. Mereka ini jika ditangkap boleh membawa hukuman tiga tahun penjara dan ke atas serta denda antara 10 ribu hingga 15 ribu.
Belia-belia harus menjauhi kumpulan ini dan betapa pentingnya institusi keluarga agar belia-belia tidak terjebak. Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik remaja-remaja ini dan di luar sekolah, ibu bapa harus mengambil berat ke mana sahaja anak-anak mereka pergi. Sehingga kini gengsterisme masih boleh dikawal dan cubalah jauhi dari menyertai kumpulan ini.

rujukan - suarajenerasibaru.com
by - admin SJ

Generasi Muda Tidak Mudah di Pengaruh - Khairy




Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaludin percaya bahawa generasi muda di negara ini tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur asing yang mampu menjejaskan kemakmuran negara.

‘Sokongan yang semakin meningkat daripada generasi muda kepada kerajaan Barisan Nasional telah dicapai melalui inisiatif kerajaan sendiri untuk mendekati generasi muda dan mendengar masalah mereka serta isu-isu yang dibangkitkan. Di samping itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan generasi yang akan mewarisi warisan di negara ini’ kata beliau semasa selepas sesi rehat di bangunan Parlimen tadi.

‘Proses demokrasi di negara kita adalah lebih baik daripada di negara-negara yang menggulingkan kerajaan mereka sendiri dan era di mana “kerajaan tahu segala-galanya” sudah berakhir kerana kita melibatkan generasi muda dan memahami jiwa mereka bagi memenuhi aspirasi mereka’ sambung beliau lagi.

Beliau berkata, usaha-usaha kerajaan untuk memberi kuasa kepada generasi muda dapat dilihat menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu termasuk peruntukan khas untuk menyediakan latihan kemahiran kepada belia.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata “Pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan pelajar untuk menikmati dalam politik adalah antara usaha kami untuk memberi kuasa kepada generasi muda.

“Ada yang takut bahawa pelaksanaan Akta yang dipinda akan membawa kepada huru-hara dalam kampus.
“Tetapi pindaan ini telah dilaksanakan lebih daripada satu tahun, tidak ada huru-hara dalam kampus dan, sebenarnya, mahasiswa adalah lebih kuat dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

“Sila mempercayai kami, kami orang muda mahu dan akan menjadikan negara ini yang terbaik di dunia,” katanya.

sumber - www.suaragenerasibaru.com 

by - Admin SJ