Friday, August 7, 2009

Budaya Ilmu Memacu Peradaban Bangsa

Permulaan kepada aspirasi besar masyarakat madani adalah dengan mengambil kira soal peneguhan jati diri dan pengadabtasian tradisi keilmuan yang luhur. Kedua-dua aspek ini mesti dijalankan secara serentak bagi mencapai pembangunan yang seimbang, berkekalan dan berpandukan kebenaran (balanced, sustainable and guided development).
Demi meneruskan kelangsungan hidup, sesebuah bangsa itu perlulah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dengan mementingkan penguasaan ilmu pendidikan khususnya di kalangan generasi muda. Sekiranya hari ini si ayah adalah seorang petani, penoreh getah, peladang, pesawah mahupun nelayan, kita mahu hari esok adalah yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kita juga mahu melihat mereka ini terkeluar dari rantaian kemiskinan. Ini kerana Nabi Muhammad Rasulallah saw sendiri menegaskan dalam satu hadisnya yang membawa maksud "Kemiskinan itu Menghampiri Kekufuran"
Justeru itu, adalah penting bagi semua golongan terutamanya mereka yang bergelar mahasiswa agar dapat menyemai budaya ilmu dalam diri mereka dengan penuh kesungguhan (mujahaddah) . Sesungguhnya umat Islam khususnya mahasiswa hari ini perlu berubah dari sikap sambil lewa kepada sikap bersungguh-sungguh, dari sikap lebih kurang kepada sikap lebih tepat, dari kepercayaan karut-marut kepada kepercayaan saintifik, daripada pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, dan seterusnya daripada pemikiran bercelaru kepada pemikiran yang mementingkan keutamaan. Seandainya kita terus berada dalam kegelapan dan kejahilan ilmu pengetahuan, nescaya kita tidak berkeupayaan untuk menilai sesuatu yang penting dan bermakna kepada kehidupan.
Generasi muda hari ini adalah penentu kepada jatuh bangun, maju mundur atau jaya gagalnya sesebuah negara pada masa akan datang. Ini kerana jika kita perhatikan, umat Islam di zaman ini tidak mempunyai kedudukan yang sepatutnya. Daripada menjadi kuasa dunia, dengan empayar yang terbesar dan tamadun yang tinggi, kini kita menjadi umat yang lemah dan tidak bermaya. Daripada menjadi umat manusia yang mendahului umat yang lain dalam bidang-bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kini kita hanya sekadar mengekor dari jauh dan belakang akan arus modenisasi yang dicetus oleh bangsa lain. Daripada menjadi pengamal disiplin dan pemilik bala tentera yang tertib serta gagah,kini kita hanya mampu melihat satu demi satu bumi Islam di jajah dan bertelagah sesama sendiri. Daripada umat yang menguasai ilmu pelayaran dan falak, umat Islam kini telah menjadi umat yang begitu daif serta kurang mempunyai ilmu pengetahuan malah mundur dalam segala-galanya. Apakah punca dan sebabnya? Sedangkan kita tahu bahawa umat Islam pernah menjadi masyarakat yang termaju dan terkuat di dunia. Dalam jangka masa hanya seratus tahun selepas kewafatan baginda Rasulullah saw, Islam telah berjaya menakluk dan mengembangkan agama serta budaya Islam dari Sepanyol di Barat hingga ke negara China di Timur. Empayar Rom dan Parsi pula tumbang di tangan tentera Islam. Jelaslah bahawa Islam pernah menjadi sebuah kuasa yang begitu hebat dengan pengembangan ilmu serta mendorong kepada kaji selidik dan penerokaan sains teknologi yang tinggi.
Namun begitu, realitinya umat Islam sekarang lemah dan mundur disebabkan kerana hari ini sudah terlalu banyak tafsiran yang berbeza-beza dibuat oleh orang tertentu sehingga umat Islam keliru dan berpecah-belah. Daripada agama Islam yang satu di zaman Rasulullah saw, Islam berpecah kepada dua apabila pengikut Saidina Ali memisahkan diri daripada pengikut Muawiyah. Kemudian kumpulan ahli sunnah dan kumpulan syiah berpecah lagi menjadi kumpulan-kumpulan yang mempunyai tafsiran yang tersendiri mengikut pemimpin masing-masing sehinggalah kumpulan-kumpulan ini juga berpecah dengan haluan mereka sendiri. Demikianlah sehingga ke hari ini perpecahan masih berterusan. Proses perpaduan dan penyatuan jarang diusahakan dan jarang sekali berjaya. Lebih teruk lagi perbezaan ideologi yang tidak diselesaikan dengan pendekatan yang berhikmah sebaliknya hingga mencetuskan kepada tuduhan-tuduhan liar, fitnah dan cemuhan oleh pihak tertentu dan ia mudah meresap di dalam jiwa setiap mereka yang tidak berfikir secara rasional. Ketaksuban pula menjadi rintangan besar yang menggagalkan usaha perpaduan sehingga meleraikan kesatuan yang dipegang oleh umat Islam selama ini. Firman Allah dalam surah An-Nahl Ayat 126 yang membawa maksud :

“Serulah kepada jalan tuhanmu dengan hikmah bijaksana, nasihat pengajaran yang baik dan berbahasalah jika perlu dengan cara (kaedah) yang lebih baik.”
Walau bagaimanapun, selagi mana wujudnya keikhlasan dalam kita membina khaira ummah, saya yakin dan pasti perpaduan dan ukhwah antara kita akan terus terjalin.Yang paling penting setiap dari kita perlu bertanya kepada diri sendiri apa yang boleh kita sumbangkan untuk negara dan bukannya asyik bertanya kepada negara apa yang negara ini boleh sumbangkan kepada kita. Berpaksikan kepada ilmu yang luhur dan bermanafaat sudah pasti kita mampu untuk mencetuskan satu evolusi baru terhadap apa yang disandarkan oleh kerajaan dalam gagasan 1 Malaysia.
-Mata Pena Bro. Aji

1 comment:

  1. melihat coretan yang ditulis ole abg aji memang betul ilmu sangat penting...Untuk menjadi mahasiswa yang betul-betul hebat maka ilmu mesti dipenuhi sebagai senjata..Jadilah mahasiswa yang boleh mempertahankan negara dengan ilmu yang penuh di dada..klo dilihat sekarang musuh bukan menyerang dari segi senjata tapi menggunakan pemikiran/intelektual...renung-renungkan moga kita dapat mempertahan maruah agama..bangsa..negara...di samping itu keikhlasan dalam diri perlu ada...:)

    ReplyDelete